KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menzahirkan ucapan takziah kepada Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan atas kehilangan suaminya.

"Salam takziah buat Zahida sekeluarga. Semoga segala urusan terakhir arwah dipermudahkan, insyaAllah," katanya menerusi hantaran di facebooknya pada Sabtu.

Selain Ahmad turut sama memberikan ucapan takziah ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman di sisi ALLAH SWT," ujar beliau di laman sosial.

Zahida merupakan Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang dilantik pada tahun 2018.